Thursday, October 20, 2016

Run Fazleena Run!

Sesekali aku dipanggil menjadi emcee untuk acara larian. Sejarah menjadi emcee larian ini bermula dengan undangan dari kawan aku, Adam. Waktu tu Adam kerja dengan satu company event larian yang establish kat Malaysia. Adam suggest nama aku pada bos dia. Job pertama aku kalau tak silap acara larian anjuran Tesco. Boleh tahan banyak juga acara larian yang aku terlibat selepas tu sebagai emcee. Sekarang Adam pun dah tak kerja lagi kat company larian tu, tapi aku masih dipanggil oleh bos-bos mereka. Syukur.

Terbaru aku dijemput untuk acara larian 21km sempena Hari Sukan Negara. Bergandingan dengan Mr. Bani. Pernah satu event sebelum ni kami berkerjasama. Aku suka sekali bila dapat tahu yang Mr. Bani sebagai partner aku. Dia ada pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang pengacaraan dan live event. Jadi aku memang kecil sangat kalau nak dibandingkan. Dengan dia aku belajar banyak benda.

Sebenarnya menjadi emcee acara larian perlukan sifat-sifat yang energetik, friendly, sentiasa warm dan selalu peka serta spontan. Seorang emcee larian juga harus bersemangat dan sentiasa memberi kata-kata positif kepada para peserta larian yang terlibat. Perlu bersedia dengan skrip yang akan diubah serta-merta. Ada banyak perkara yang tak dijangka akan berlaku seperti vip yang sepatutnya melepaskan peserta tidak hadir, senarai vip yang mengiringi berubah setiap masa, banyak informasi serentak diberi sewaktu acara berlangsung dan hal-hal kecemasan serta random yang berlaku tanpa kawalan. Kau perlu sentiasa peka. Laju untuk bergerak dan bertindak. Tak ragu-ragu untuk memberikan informasi yang selamat dan tepat.

Secara jujurnya aku masih lagi lemah dan banyak yang perlu dipelajari dalam mengendalikan acara sebegini. Maklumlah jam 4 pagi dah kena ada di lokasi. Aku ni kalau ada acara pagi buta memang aku risau terlajak, jadi malamnya memang aku sejenis tidur-tidur ayam saja. Risau dan nervous sekaligus.

Pagi-pagi setibanya di lokasi dah mula bercakap, beri informasi dan membuat pembukaan kata-kata pada para peserta. Waktu tu juga pihak penganjur akan berulang-kali datang untuk mengingatkan info dan kemaskini tentang vip yang akan buat flag off. Waktu pagi yang hening macam ni, otak kau cuma mahu berehat atas bantal. Bila maklumat diterima terlalu banyak, kau akan jadi pening dan gelabah. Aku la tu. Jadi menjadi seorang emcee larian, kau memang harus bersedia mental dan fizikal. Harus sentiasa tenang dan mengawal keadaan. Semua informasi salah atau betul berada di tangan kau. Kerana kau adalah perantara kepada semua yang ada di acara itu.

Waktu flag off aku jarang sekali mengemudi acara. Aku selalu mengharapkan partner aku yang buat. Sebab waktu ni banyak bermain dengan protokol. Kena panggil nama vvip bersama vip iringan yang akan sama-sama melepaskan peserta. Aduh. Aku memang gagal kalau melibatkan status vip ni. Aku risau kalau aku salah sebut nama official mereka. Yang berbahagia ke, Yang berhormat ke, Profesor Doktor ke, Tuan Haji apa ke. Aku memang ada masalah nak buat flag off sebab aku tak nak salah sebut. Kalau salah nanti ia akan beri kesan pada aku sepanjang acara. Aku akan rasa bersalah pada penganjur dan terutama sekali pada vip yang disebut nama tu. Jadi eloklah partner aku yang buat urusan protokol tu. Aku cuma mencelah sesekali.

Kelemahan ini aku harus atasi. Kerana ini kerja dan tanggungjawab aku. Aku di bayar untuk melakukan pekerjaan ini. Aku sepatutnya berusaha untuk berikan yang terbaik pada setiap perkara yang aku lakukan. Aku tak boleh sewenangnya berikan tugas itu pada partner aku. Kami patut sama-sama melakukannya. Seimbang. Nampak aku mengambil kesempatan pula atas kebaikan partner aku yang rata-rata tak kisah kalau mereka saja yang dominan waktu pelepasan. Namun akhirnya kepuasan sebenar bekerja atau pun berkarya terletak pada sejauhmana kita telah melakukan yang paling baik secara individu. Bukan kejayaan itu terletak daripada pandangan orang lain. Mungkin orang berkata kita telah lakukan yang terbaik, tapi kalau kita sendiri belum benar-benar  memberikan yang sepatutnya, maka ia bukanlah erti kejayaan sebenar.

Aku juga ada masanya takut-takut nak sebut nama pemenang dengan yakin. Aku risau tersasul. Sama juga jika ada peserta dikalangan atlet luar negara, aku segan-segan nak guna bahasa Inggeris. Aku takut salah sebut. Kebanyakkan masa aku serahkan pada partner aku untuk umumkan nama-nama yang aku rasa ada masalah nak sebut. Hurmm.

Semoga ada kesempatan untuk aku memperbaiki kelemahan aku. Tahun ni aku 37 tahun. Aku harap dapat undangan menjadi emcee acara larian sampai umur aku 47 tahun. Hehe. Jadi aku ada 10 tahun lagi pengalaman dalam memperbaiki kelemahan bagi mengendalikan acara besar sebegini.

Terimakasih kepada penganjur yang tak jemu dan percaya pada aku. Terutama sekali terimakasih pada pasangan emcee aku yang tak pernah negatif dan komplain atau buat muka masam bila aku tak seaktif dan se-energetik mereka. Kesungguhan dan kebaikan hati diorang akan aku kenang sampai bila-bila. Dan paling penting ia membantu aku merasa malu dan mahu mempertingkatkan diri aku menjadi emcee yang lebih baik dari semalam. InshaAllah.


Run Fazleena Run!





No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...