Wednesday, October 19, 2016

Gunung Nuang & benih-benih kejutan yang tertanam.

Kenapa tiba-tiba suka naik gunung? Apa yang buat kau start nak panjat-memanjat bukit ni? Sebenarnya soalan-soalan macam ni sampai sekarang pun aku tak boleh nak bagi jawapan yang tepat. Macam kau suka pada seseorang–adakah kau boleh beritahu secara terperinci kenapa kau suka dia? Susah. Macam cinta, manakan boleh kau himpun dengan kata-kata atau fakta. Ia terlalu besar untuk diterjermahkan. Makna dan rasanya hanya kau saja yang tahu. 

Sejak berjinak dengan aktiviti pendakian ni, aku dah naik bukit Broga, Bukit Batu Putih di Port Dickson, Bukit Tabur East,  Gunung Irau, Bukit Gasing, Taman Rimba Kenong dan yang terkini, Gunung Nuang via Janda Baik. Pada asalnya, Aloy ajak kami untuk bermalam dan berkhemah sewaktu perancangan naik Gunung Nuang. Cuma sabtu itu aku ada tugasan emcee larian sempena Hari Sukan Negara, jadi kami cuma boleh berharap naik gunung dengan memilih untuk balik hari. Biasanya sebelum mendaki, aku ringan mulut bertanya pada kawan-kawan yang dah naik Nuang dan baca beberapa artikel di internet mengenainya. Gunung Nuang ditahap sukar jika naik ikut Pangsun di Hulu Langat. Manakala untuk laluan Janda Baik, trailnya tidak sesukar Pangsun. Jadi eloklah kami yang beginner ni naik ikut Janda Baik saja. Walaupun aku dengar 2km sebelum sampai puncak, laluannya mencanak-canak tinggi. Maka kami dah set dalam otak yang trip kali ni memang akan tough. Jadi sedikit-sebanyak kami sudah bersedia.

Kami berkumpul di tempat permulaan pendakian pada jam 8 pagi. Dalam jam 8.30 pagi mula bergerak perlahan-lahan untuk menjejak Nuang. Aku dan Amar, Aloy & Zakiah, Adam & Zuria serta Hilmiwee bersama dalam trip kali ni. Mereka semua kecuali aku dan Amar sedang dalam latihan ke Gunung Kinabalu hujung Oktober ini. Aku frust juga tak dapat ikut serta, tapi bila difikirkan balik aku perlu lebih latihan lagi untuk benar-benar bersedia ke Kinabalu. Mungkin tahun depan, inshaAllah. Jadi pendakian kali ni aku dan Amar seolah menemani mereka buat latihan. Bagi & ambil semangat kawan-kawan gitu. 

Perjalanan dimulakan dengan meredah kebun dan kampung orang asli yang tinggal di sisir gunung Nuang. Buah-buah serta tanaman segar terbentang di kiri dan kanan jalan. Kali ni aku bawa bersama tongkat sakti (trekking pole) yang baru aku beli di Decathlon dengan harga RM39. Aku rasa macam poyo juga, sebab aku satu-satunya yang guna tongkat tu. Orang lain macam tak hairan dan berlenggang kangkung berjalan. Tapi akhirnya di pertengahan jalan semua orang cari kayu dan dahan pokok untuk buat tongkat. Termasuk Amar. Aku gelak ajelah. Hahaha. Aku betul-betul menggunakan tongkat tu secara berkhemah. Tidak sesekali pun aku sangkut dan simpan dalam beg. Walaupun melintas air terjun, aku tetap gunakan ia. Memang betul-betul membantu. Aku meletakkan beban kepenatan aku pada tongkat itu sepanjang perjalanan. Kau akan faham kenapa orang yang sukar nak berjalan, buta atau sakit berjalan menggunakan tongkat. Kerana ia menunjukkan arah, mengapung berat tubuh dan menampung kepenatan. Terimakasih Tuhan kerana meniupkan keinginan aku untuk beli tongkat tu. Seperti berjalan dengan 3 kaki, ia benar-benar menyelamatkan aku.

Hampir 2 jam berjalan melalui kebun, kampung orang asli dan hutan yang diselang-seli dengan pokok-pokok buluh, kami akhirnya sampai di air terjun Chemperoh. Cantik sangat. Jernih dan sejuk sekali airnya. Kami singgah sebentar melepaskan penat dan kemudian meneruskan perjalanan untuk ke puncak. Aku sempat merendamkan kaki. Dan kami berjanji untuk kembali berehat di situ waktu perjalanan pulang nanti. Misi menawan puncak diteruskan. Menurut Adam, lebih kurang 2 jam lagi kami akan sampai ke puncak jika pace kami sederhana laju. Waktu ni aku dah bersedia sebab ramai kawan-kawan dah pesan, trek naik ke puncak selepas air terjun memang menegak sampai ke hujungnya. Peh! Memang benarlah seperti yang dikatakan. Treknya memang menduga mental. Mencanak tak ingat punya! Kaki, lutut semua menggeletar. Kami berehat beberapa kali juga sebelum sampai puncak. Aloy pun dah mengadu sakit dada. Risau juga tengok dia. Dalam 1km menghampiri puncak, kami mula rasa kedinginan. Ini belum sampai puncak lagi. Hilmiwee dan sibuk cakap–Sejuk woi. Sejukkkk! Perlahan-lahan kami sampai juga ke puncak gunung Nuang. Alhamdulillah. Syukur.

Puncak Nuang cantik dengan kabus penuh. Angin mencucuk tubuh, dingin. Kami disambut dengan 3 ekor anjing yang katanya menjaga puncak itu. Aku ni dahlah fobia dengan anjing. Naik segala bulu roma bila dia duduk hanya beberapa meter dari aku. Bila kami buka bekal makan, anjing-anjing ni semua mula mengerumuni. Nasib ada Adam, dialah yang melayan anjing-anjing ni. Dia suruh kami makan di tempat lain. Keadaan agak tak selesa, sebab anjing-anjing ni masih datang ke arah kami. Ditambah pula dengan insiden dimana sekumpulan orang asli ni datang ke puncak dengan membawa beberapa ekor anjing mereka. Tak tahu kenapa mereka ke situ. Jadi ke-3 anjing penjaga puncak Nuang mula menyalak sekuat-kuatnya. Mereka jadi tak tentu arah. Berlari ke sana ke mari. Suasana di Nuang itu jadi tak tenteram. Walaupun kaki masih penat, Aloy bagi arahan supaya kami semua memulakan perjalanan untuk mendaki pulang. Kami sempat berehat dalam satu jam saja. Ambil gambar laju-laju dan turun kembali. 

Perjalanan turun aku rasa lebih parah. Kerana ia curam sama seperti canaknya masa naik tadi. Kaki dan lutut mula rasa sakit. Badan rasa lesu. Hujung jari kaki dah mula kebas-kebas. Selalunya soalan yang muncul seperti–kenapalah aku sibuk nak naik gunung ni? Lepak rumah atau tengok wayang lagi okay kan? akan muncul bertalu-talu dalam otak kau. Akhirnya setelah 2 jam menuruni, kami sampai semula di air terjun tadi. Amar ambil masa untuk nap, sebab dia dah mula rasa nak tertidur masa berjalan turun. Aku, Zuria dan Hilmiwee rendam kaki, oh rasa lega betul. Si Adam terus buka baju dan tenggelam dalam kolam air terjun. Aloy dan Zakiah paling lewat sampai. Katanya Aloy beberapa kali terpaksa berhenti sebab sakit dada. Aku nampak muka Aloy agak down juga. Mungkin macam-macam yang difikirkan. Ada juga hasrat nak membatalkan trip ke Kinabalu aku dengar, sebab keadaan dia yang sebegitu. Aku suruh Aloy check-up dulu nanti sebelum naik hujung bulan ni. Yelah, risau jugakan. Kesihatan ni jangan buat main-main. Sebelum memulakan perjalanan balik, aku habiskan bekal nasi goreng sardin yang aku bawa. Kami semua masak sendiri kat rumah atas suggestion Aloy. Memang kena bawa bekal nasi. Kalau tak pasti kebulur. Perjalanan mengambil masa satu hari juga untuk pergi dan pulang. Syukur dengan nasi goreng sardin, coklat dan 2 botol air,  aku survived. 

Kami sampai dalam jam 7 petang di tempat parking. Aloy dan Zakiah sampai dalam setengah jam selepas itu. Sebelum masing-masing pulang ke sarang, kami bersantap dulu di R&R Karak. Penatnya hanya Tuhan saja yang tahu. Masing-masing bersetuju mengatakan yang Gunung Irau lebih mudah dari Gunung Nuang. Aku pun setuju. Jika di Irau, aku banyak juga merakam gambar dan video. Tapi untuk Nuang, kami tak sempat bergambar sangat. Sebab masing-masing fokus memanjat. Nak keluarkan kamera pun tak mampu. Hanya bergambar di Puncak dan air terjun saja. Aku tak boleh bayangkan mereka yang mendaki ikut Pangsun. Fuhhh. Malam tu sampai saja rumah, Amar terus tidur tanpa mandi. Penat sangat gayanya. Aku pula sempat mandi, cuma esoknya tertidur tak sedar sampai tengahari. Hehe.  

Beberapa hari belum pun sempat kaki kami sembuh dari kesakitan memanjat Nuang, Aloy buat pengumuman bahawa Zakiah mengandung. Pergh. Dan Zakiah membatalkan penyertaan untuk naik Kinabalu. Aku happy dan sebak sekaligus dengar berita itu. Aloy ni macam adik-beradik aku sendiri. Kami bersahabat dah lama dan buat teater sama-sama. Zakiah pula aku anggap macam adik aku. Alhamdulillah. Bolehlah aku menumpang manja anak diorang nanti. Kebahagiaan selalu saja boleh dipinjamkan kan? :) 

Inilah yang aku suka dengan pendakian. Kerana setiap prosesnya berbeza. Setiap bukit, gunung dan hutan yang kau telusuri, kenikmatannya berbeza. Perjalanan yang kau akan tempuh totally lain dari yang sebelumnya. Kau boleh tengok gambar orang dan merasa teringin untuk melakukannya, atau kau membaca pengalaman orang dan cuba merasainya, tapi ia tak sama bila kau menikmatinya sendiri. Ada kejutan yang tercipta dalam setiap pendakian. Ada cerita yang kau tak boleh ceritakan semuanya pada sekelian. Sebab itu kau harus menerokai dan mengalami sendiri misteri alam.

Ada kawan ajak ke Gunung Ledang bulan depan? Aku tengah pujuk Amar ni. Doakan ye. 










1 comment:

  1. Wah, bestnya ke Gunung Ledang pula. Selamat datang ke Johor lagi Cikgu! :)

    ReplyDelete